Syukur, aku pernah juga menjejaki tempat ke tanah ini. Mungkin senang bagi orang lain, dan mungkin juga Bandung, bukanlah apa-apa. Namun pengalaman ini teramat aku gemari.
Bermula dari rancangan teman sekerja, seramai kurang lebih 19 orang bersetuju dan tiket penerbangan juga telah ditempah. Menurut rakan yang menguruskan, rombongan kami akan turun di Jakarta dan akan menyewa 2 atau 3 buah kenderaan untuk bergerak ke Bandung. Penempatan juga akan diuruskan oleh salah seorang rakannya. Harga tiket penerbangan hanyalah RM 150 pergi dan balik, teramatlah selesa tambang sebegitu.
Namun bila hampir tiba hari penerbangan, ramai yang mula tarik diri, disebabkan alasan-alasan tersendiri. Pada akhirnya hanya tinggal 4 orang sahaja yang pasti pergi dan tidaklah termasuk orang yang menguruskan perjalanan ini. Maka kami perlu bergerak sendiri, bermula pengembaraan kami.
Jun 2010 - aku dan pasanganku menanti 2 lagi sahabatku di kawasan perlepasan LCCT. Agak berdebar kerana aku belum biasa menaiki kapal terbang. Sesampainya 2 orang sahabatku, berita kurang gembira yang kami terima, mereka membatalkan niat untuk ke Bandung, mereka hanya mahu ke Jakarta, kerana di sana mereka punya sahabat untuk menguruskan percutian mereka. Jadi mulalah aku dan pasangan berteka-teki apa tindakan yang wajar untuk kami ambil. Untuk membatalkan perjalanan, adalah sesuatu yang mustahil sama sekali.
Penerbangan selama 2 jam itu berjalan dengan lancar, tiada masalah. Sesampai di sana, kami mula disambut dengan pemandu-pemandu teksi yang sibuk menawarkan harga teksi mereka. Dan di situlah pengalaman baru yang kami dapat, apabila kami hanya terus bersetuju dengan harga yang ditawarkan tanpa membuat sebarang perhitungan. Maklumlah belum sempat mengira kadar pertukaran wang waktu itu. Perjalanan yang kurang dari setengah jam itu mengambil upah hampir RM 100. Jadi perlu menjadi ingatan untuk yang lain, sebelum melancong, sila hafal kadar pertukaran wang dengan betul dan jangan buat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa.
Kami tiba di stesen keretapi Jakarta, masih dalam keadaan terpinga-pinga. Setiap papan tanda di baca dan cuba difahami. Akhirnya, keputusan telah dibuat, tambang sebanyak RM 15 untuk satu perjalanan untuk perjalanan kelas eksekutif ke Bandung. Kami punya waktu untuk makan, namun tidak pula kami berani untuk jauh dari stesen keretapi itu, bimbang kalau-kalau tersesat. Selesai makan, kami mula menunggu kedatangan keretapi. Luas namun kebersihannya perlu ditingkatkan, amat berbeza kelas eksekutif di Malaysia berbanding di Indonesia. Perjalanan selama 5 jam itu teramat meletihkan, melalui bukit bukau, tasik dan tanaman padi huma. Namun perjalanan yang amat membuka mata dan minda aku, sebagai rakyat Malaysia. Hanya perlu mengatakan aku amat bersyukur menjadi rakyat Malaysia.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=408341493591&set=a.408340983591.183933.778928591&type=3&permPage=1
Setiba di stesen keretapi Bandung, keadaan hampir lewat petang. Tugasan seterusnya adalah untuk mencari tempat tinggal untuk 3 hari. Kalau sebelum itu dijanjikan akan disediakan, tapi akhirnya kami terpaksa bergerak sendiri untuk mencari tempat penginapan. Hanya berjalan kaki, kami singgah dari satu hotel ke hotel yang lain. Semuanya mahal, dan tujuan kami ke situ bukanlah untuk bersenang-lenang, bercinta-cintaan. Maka, dengan segala usaha, akhirnya kami temui sebuah hotel yang menawarkan RM 50 untuk semalam. Oleh yang demikian, kami hanya perlu membelanjakan untuk penginapan sebanyak RM 150 untuk 3 malam, memang berbaloi.
Hari pertama, kami tak dapat ke mana-mana. Hanya menghabiskan masa dalam perjalanan dan mencari kedai makanan yang halal. Untuk pengetahuan, kedai makan di Bandung bukan semuanya halal. Amat susah untuk kita mengklasifikasikan tahap halal kerana mereka tak punya sebarang identifikasi untuk kedai makanan yang halal. Jangan sangkakan orang berkopiah menjual makanan itu, makanan itu halal. JANGAN! Lebih afdal kiranya kalian sendiri bertanya seramai mungkin kedai mana yang menyediakan makanan yang halal, jangan biasa buat andaian sendiri.
Hari pertama berlalu, hari kedua menjelma. Seawal 5 pagi keadaannya cerah seperti 7 pagi di Malaysia. Tidak hairanlah kenapa kedai-kedai di situ beroperasi awal dan menamatkan operasi sekitar jam 5. Hari kedua kami habisi dengan membeli belah di sana. Ya, benar kata orang, Bandung memang tempat yang sesuai untuk pencinta aktiviti membeli. Sedangkan aku juga, terkesima dan terpukau dengan barangannya. Selesai membeli. Kami hanya berlegar di kawasan sekeliling hotel. Melawati kompleks membeli-belahnya dan mencuba menu-menu yang ada disekitar itu.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=408341508591&set=a.408340983591.183933.778928591&type=3&permPage=1
Hari ketiga kami mula bergerak lebih jauh. Kami mula belajar menaiki angkutan, sebuah kenderaan awam yang membawa kita dari satu tempat ke satu tempat lain. Namun kami benar-benar tidak faham, bagaimana tambangnya di kira. Perjalanan kami adalah ke Tangkuban Perahu di mana terdapat kawah gunung berapi yang masih aktif di situ. Tambang yang dikenakan adalah sebanyak Rp 50 000 dari kaki gunung ke atas. Sila kira sendiri untuk kadar Ringgit Malaysia.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=411063533591&set=a.408340983591.183933.778928591&type=3&permPage=1
Setelah selesai melihat keindahan kawah-kawah ciptaan tuhan itu, kami berhasrat untuk menuruni gunung itu melalui denai-denai yang disediakan. Perlu DIINGATKAN sekali lagi, JANGAN biasa biarkan sesiapa pun menawarkan diri untuk menjadi penunjuk arah, kerana anda bakal dikenakan caj yang terlampau tinggi. Nasib baik kami telah dipesan oleh orang yang pernah ke sana, supaya tidak mudah terpedaya dengan tawar-tawaran mereka ini.
Dalam perjalanan turun, memang terasa keletihannya. Namun amat berbaloi, bila dapat menikmati kawasan kawah dengan lebih dekat. Pengalaman yang amat indah dalam hidup. Tapi, satu lagi pengalaman yang amatlah tak dapat dilupakan, bila keluar dari kawasan kawah tersebut, hujan mula turun. Renyai dan bintik-bintik mulai kasar, dan akhirnya lebat. Lencun, kuyup dan kami pulang keadaan kesejukan.
Walaupun matahari masih menyinari namun kami benar-benar keletihan. Namun jam 4 waktu Jakarta, kami keluar lagi untuk membeli kek Kartikasari yang amat terkenal untuk dibawa pulang ke Malaysia. Malam ini malam terakhir kami di Bandung.
Hari keempat, awal pagi lagi kami check-out hotel, rancangan asal, mahu jalan-jalan di Jakarta. Namun ketika menunggu keretapi untuk ke Jakarta, badanku mula rasa kebah seperti ada yang tak kena. Badanku mula panas, dan akhirnya teramat panas. Perjalanan selama 5 jam di dalam keretapi itu teramat menyesakkan, bagai 5 tahun lamanya.
Sampai di stesen Jakarta, badanku teramat lemah, tak mampu lagi untuk meneruskan rancangan untuk ronda-ronda di Jakarta, akhirnya pasanganku buat keputusan untuk terus ke lapangan terbang. Plan asal, untuk menaiki bas ke lapangan terbang juga terpaksa dibatalkan. Kami mengambil teksi dan terus ke lapangan terbang Jakarta.
Cabaran lagi bila kami dihantar ke kawasan yang salah, kami terpaksa menaiki bas untuk ke kawasan lapangan satu lagi. Sesampai di lapangan terbang, aku memang tak punya kekuatan lagi untuk berdiri. Aku hanya tersadai di tepi dinding. Pasanganku terpaksa mencari ubat untuk aku terus bertahan. 2 biji ubat, untuk bertahan selama sejam. Hampir sepapan ubat aku telan untuk terus bertahan hingga waktu check-in penerbangan.
Perjalanan balik dalam kapal terbang hanya dihabisi dengan tidur akibat kemabukan ubat. Namun ubat itu tak mampu buat aku bertahan. Sesampai di LLCT badanku mula panas, aku cukup bimbang sekiranya aku tak mampu melepasi kawasan pelepasan kesihatan kerana waktu itu wabak H3N1 tengah hangat. Tak pasal-pasal terpaksa dikuarantin. Lega bukan kepalang bila semua pemeriksaan selamat. Oh Malaysia, sungguhpun hanya 4 hari, aku benar-benar merindui tanah airku.
Aku demam selama 2 hari, takmampu bangun tapi pengalaman ini tak mampu aku lupakan. Bandung, jika berpeluang aku akan ke sana lagi. :)
Tuesday, May 29, 2012
Friday, May 25, 2012
AP Club Team
Mula ditubuhkan oleh seorang individu yang meminati aktiviti luar dan lasak, namun beliau tidak mempunyai mana-mana kumpulan atau pasangan untuk bergerak bersama-samanya untuk melakukan aktiviti yang diminatinya. Beliau cuba mewujudkan akaun facebook untuk mencari pasukan yang mempunyai minat yang sama.
Namun, beliau juga cuba aktif menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pasukan lain dan bergerak secara persendirian. Di samping itu, beliau juga turut mengajak ahli keluarganya untuk turut serta untuk meminati aktiviti yang sama.
Beliau masih berusaha untuk meningkatkan AP Club Team ini menjadi salah sebuah pasukan yang aktif dan cergas. Semoga usaha beliau mendapat sokong dari semua.
Jom sama-sama menyertai http://www.facebook.com/pages/Adventures-Program-Team-AP-Club/108219912585050
Namun, beliau juga cuba aktif menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pasukan lain dan bergerak secara persendirian. Di samping itu, beliau juga turut mengajak ahli keluarganya untuk turut serta untuk meminati aktiviti yang sama.
Beliau masih berusaha untuk meningkatkan AP Club Team ini menjadi salah sebuah pasukan yang aktif dan cergas. Semoga usaha beliau mendapat sokong dari semua.
Jom sama-sama menyertai http://www.facebook.com/pages/Adventures-Program-Team-AP-Club/108219912585050
Subscribe to:
Posts (Atom)